Monday, February 07, 2005

(T) Feb 4, 2005 - Hamlet

Cerita Hamlet yang dipentaskan baru-baru ini oleh Actor’s Studio merupakan versi yang bukan sahaja dimodenkan malah dimuhibahkan; tetapi, yang paling berani, di“bahasamelayu”kan. Ini merupakan kali ketiga Faridah Merican mementaskan Hamlet dalam Bahasa Melayu.

Usaha ini boleh dikatakan “berani” kerana sudah kita tahu bahawa makna sebenar sesebuah karya akan mudah hilang dalam proses penterjemahan.

Dan “berani” kerana sudah kita tahu bahawa sesebuah puisi ataupun sajak yang dipena dalam sesuatu bahasa seringkali dihasilkan dalam konteks patos dan budaya tempat dimana penulis berasal.

Hamlet, dalam bentuk asalnya, diiktiraf sebagai salah satu hasil kerja Shakespeare yang paling masyur kerana kemahiran bahasanya. Beberapa frasa dalam karya ini merupakan yang paling popular dan paling banyak digunakan dalam teater ataupun dalam percakapan harian.

Misalnya, frasa “To be, or not to be: that is the question...” telah diterjemahkan sebagai, “Bertindak atau tidak? Itulah persoalannya” dan bukannya “Jadi atau tak jadi? Itulah persoalannya?” dimana “bertindak” adalah lebih tepat berbanding dengan “jadi” dalam konteks ucapan Hamlet tersebut. Namun demikian, terdapat juga beberapa bahagian yang tidak sempurna terjemahannya.

Jadi, bagi saya, orang yang paling penting dalam produksi ini ialah Penulis Skrip yang boleh membuat penterjemahan dan penulisan semula yang setepat-tepatnya dapat menginterpretasikan objektif dan makna disebalik pengarahan Hamlet dalam Bahasa Melayu. Tetapi, peliknya, peranan ini tidak dinyatakan dalam program.

Tugas Sobri Anuar sebagai Pelatih Dialog memang mencabar. Watak-watak utama – Hamlet (Gavin Yap), Claudius (Reza Zainal Abidin) dan Polonius (Patrick Teoh) - dalam produksi ini dimainkan oleh pelakon-pelakon yang lebih senang dengan Bahasa Inggeris. Selain itu, dia perlu melatih pelakon menutur Bahasa Melayu seperti yang ditutur oleh pelbagai bangsa – Melayu, Cina dan India.

Bimbingannya yang baik menonjol apabila pelakon-pelakon Hamlet cukup fasih dan lincar penuturan mereka. Gavin Yap, terutamanya, berjaya mengkagumkan para audien dengan persembahannya yang baik, manakala Patrick Teoh dan Christina Orow jelas menggagap. Oleh itu, kualiti penuturan dan sekaligus kualiti lakonan adalah saling menjejas.

Kebanyakan dialog diucap terlalu pantas. Kemungkinan besar penterjemahan yang tidak tepat menghasilkan ayat-ayat yang begitu panjang berbanding dengan bahasa asalnya dan untuk menghabiskan persembahan dalam masa yang suntuk, pelakon-pelakon terpaksa berucap dengan begitu pantas. Malah, ada juga babak yang dikeluarkan untuk memendekkan jangka masa persembahan. Malangnya, audien susah menikmati atau menghargai pementasan ini apabila dialog tidak dapat ditangkap.

Selain daripada itu, terdapat juga masalah dengan penggunaan bahasa. Sebaiknya, bahasa yang indah tidak harus dicemari. Misalnya, jika bahasa istana digunakan, maka seluruh ayat ataupun dialog tersebut haruslah mempunyai sifat tersebut dan tidak harus dicampuradukkan dengan bahasa rakyat.

Walaubagaimanapun, pengecualian diberi apabila penggunaan bahasa disengajakan untuk menghasilkan kesan kelucuan. Misalnya, apabila Si Penggali Kubur (Nell Ng) mencampuradukkan Bahasa Cina dalam penggunaan Bahasa Melayu.

Jika tidak disengajakan untuk tujuan jenaka, kelucuan akan tetap timbul tetapi tidak kena pada tempatnya. Misalnya, dalam babak terakhir dimana semua watak mati, Horatio, dalam penggunaan dialeknya telah menimbulkan kelucuan yang tidak sesuai dengan suasana tragis itu.

Contoh tersebut hanya merupakan salah satu daripada beberapa contoh yang menyebabkan Hamlet, yang sepatutnya sebuah “tragedi”, dikomedikan dan terus hilang unsur-unsur tragis yang perlu untuk melahirkan perasaan simpati terhadap watak Hamlet serta memberi rasa tragedi kepada pementasan ini.

Tidak salah jika memasuki unsur-unser jenaka dalam pementasan ini. Horatio (Wan Kanari Ibrahim) dan Pelakon-Pelakon Upahan (Joseph Gonzales dan Nell Ng) telah berjaya menggunakan jenaka dengan baik untuk menceriakan keseluruhan persembahan.

Dari segi perwatakan, Gavin sebagai Hamlet berjaya menimbulkan konflik dalaman yang dihadapi watak tersebut. Sharifah Amani Yahya yang mengambil watak Ophelia tidak dapat menonjolkan perbezaan yang ketara dalam wataknya sebelum dan selepas kematian ayahnya, Polonius. Cara percakapan dan sifatnya, serta jatuh naik nadanya hampir sama melainkan ia lebih kuat atau lebih cepat sahaja (selepas kematian Polonius).

Joseph nampaknya lebih sesuai untuk watak yang lucu. Tetapi sebagai ‘hantu’, dia gagal menimbulkan rasa seram dan serius dalam babaknya. Watak Horatio, yang dipegang oleh Wan Kanari Ibrahim, yang sepatutnya lebih intelektual. Ini tidak disebabkan oleh lakonan yang buruk tetapi kerana penggunaan dialek yang dengan tidak sengaja menyifatkannya sebagai seorang yang lebih kasar dan lucu.

Dalam teater moden, seseorang Pengarah sudah pasti akan menggunakan peralatan-peralatan moden untuk menimbulkan suasana yang sesuai untuk mengindahkan lagi pementasan. Oleh kerana teks Hamlet sudah kaya dengan kiasan, maka penghiasan pentas, pencahayaan serta kostum boleh diringkaskan.

Unsur-unsur moden tertera dalam penghiasaan pentas (pentas atas pentas yang bertangga dan putih), kostum (baju kontemporari) dan peralatan lakonan (senapang).

Muzik yang digunakan yang terdiri daripada pelbagai alat-alat paluan sesuai untuk versi Hamlet yang disesuaikan untuk rasa tempatan. Akan tetapi, komposisi yang sama diulangi dalam beberapa babak. Sudah nyata tidak banyak masa diluang menyesuaikan muzik dengan babak.

Pengarahan Faridah kali ini kelihatan longgar dan beliau perlu lebih prihatin dalam segala aspek produksi. Bagi kumpulan teater yang profesional, sudah tentu audien mengharapkan pementasan yang lebih bermutu.

Begitulah kritikan untuk Hamlet....

Jika tidak sekarang, kemudian datangnya; jika tidak kemudian, sekarang datangnya, namun datangnya pasti.”

Sekian.


(...nasib baik tak buang Kamus Dwibahasa you....)

1 comment:

chinoz said...

Woman!! This feature is in Malay?!?

I didn't exactly break a leg, but my ankle's back on guard duty.