Monday, August 07, 2006

(T) August 4, 2006 - Wangi Jadi Saksi

Dalam hasil teater Wangi Jadi Saksi, U-Wei Hajisaari (Pengarah) menjemput penonton memikirkan siapa sebenarnya wanita yang bernama Dang Wangi ini - ya, nama yang ditinggalkan dari zaman kegemilangan Kesultanan Melaka yang kini lebih dikenali sebagai sebuah stesen perhentian LRT di Kuala Lumpur sahaja. 

Kisah penderhakaan Hang Jebat dan pertarungannya dengan Hang Tuah tak habis-habis didebat di alam academia dan tak jemu-jemu dijadikan bahan teater. Sejarah menjadi saksi bahawa kontroversi dan skandal laris. Isi kandungan media hari ini buktinya. 

Produksi ini mempunyai set yang kontemporari dan serba ringkas. Kononnya, U-Wei berfikir, tidak perlu membazir berjuta-juta seperti PGL. Kos yang dibelanjakan untuk menghasilkan set tidak penting; yang penting, keberkesanan penggunaannya. Saya mendapati kekurangan dari dua aspek: pertama, monotoni dialog yang melesukan pendengaran; dan kedua, penggunaan ruang pentas yang membosankan mata. Malah, saya hampir tertidur ketika menyaksikannya. 

Yang menarik ialah pendekatan feminisme yang digunakan untuk menyoalsiasat sejarah yang dicatat dari perspektif patriaki. U-Wei, bagaikan Jebat yang menderhakakan sistem patriaki, kini mengetengahkan suara wanita yang dahulunya tidak terdaya bersuara. Inilah yang menjadikan interpretasi adegan yang dijumpai di kedua-dua buku Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah itu segar lagi provokatif. 

Wangi Jadi Saksi menceritakan kisah Hang Jebat yang dikhianati dan dibunuh, seperti yang dilihat dari sudut pandang kekasihnya Dang Wangi yang menjadi satu-satunya saksi peristiwa tersebut. Justeru, Dang Wangi menghadapi Patih Kerma Wijaya yang dianggap pembunuh suaminya. Kisah ini diceritakan dalam dialog antara Dang Wangi dan Patih Kerma Wijaya yang diselangi dengan penceritaan imbas kembali. 

Dang Wangi menjumpai Hang Jebat cedera ditikam dari belakang. Abang Tuah tidak kelihatan. Yang ada cuma Patih Kerma Wijaya yang mengatakan bahawa Hang Tuah sudah pergi selepas menikam Hang Jebat. Dalam berkabungnya, Dang Wangi berfikir – sanggupkah pahlawan terunggul Melaka menikam lawan yang tidak bersenjata apatah dari belakang? Sanggupkah Taming Sari melimpahkan darah bagi pendekar pengecut? Jawapannya jelas. Dalam kontroversi yang tidak luput ini, yang pasti, kita jadi saksi: suara yang kecil, betapa "wangi" (merdu) pun kian ditelan masa, kian dilesap sejarah.

2 comments:

Anonymous said...

Saya menonton Wangis Jadi Saksi dengan harapan belajar sesuatu; maklum dikatakan mereka yg hebat dari USA datang begitu juga yg hebat dalam muzik dari Indonesia. Saya terdiam dan terus terdiam dan akhirnya sakit menonton. Bukan lagi Wangi tetapi sudah jadi seuatu yang tidak punya bau. Apa sebenarnya yang mahu disampaikan dalam sebuah teater? Apa itu teater? Mari kita lihat Sarah karya Cikgu Noordin. Semuanya simple termasuk kos yang amat minimum tetapi ia hebat di mata dan hati saya. DBP tersilap membuat perhitungan. Sebenarnya Sarah yang sewajarnya diletakkan sebagai Teater Perdana sempena 50 tahun DBP... tapi Cikgu Noordin tak pandai bodek!

Anonymous said...

Rasanya orang atas dbp memang tah lost touch dengan teater Melayu, apalagi teater Inggeris, masih dalam kepompong 1970an. Tampuk pemerintahan DBP memilih nama2 besar seperti Anuar Nor Arai (yang filemnya 5 jam dan sampai kini belum dapat ditayangkan), UWei yang dtgnya dari filem, yang akhirnya seperti memberikan projek kesian kepada kawan-kawan lama. Sampai bila DBP nak jadi macam ni nak membela Bahasa dah tak dapat, nak bela teater apa lagi lah! Orang-orang yang kerja kat situ pun tak tengok teater, semua gomen. Pengerusinya pulak now dah jadi pengerusi Malaysian Arts Council, dia sendiri dah lama tinggalkan teater, 20tahun, apa nak jadi!!!!!